Itinerari Trip Ke Jakarta-Bogor Indonesia Selama 5 Hari Tahun 2024

Trip ke Jakarta-Bogor Indonesia menjadi destinasi terbaru untuk saya dan seluruh keluarga bercuti bersama ke luar negara. Ianya juga menjadi trip pertama saya travel ke luar negara untuk tahun 2024 kali ini.

Percutian kami kali ini adalah selama 5 hari 4 malam di dua daerah utama di Indonesia iaitu di ibu kota, Jakarta dan Bogor. Kami sekeluarga travel ke negara jiran dari 16 hingga 20 Februari 2024. Hari weekend dan hari weekdays sekali.

Selain daripada keistimewaan travel bersama seluruh keluarga, trip kali ini juga istimewa untuk saya sendiri apabila buat pertama kali menjejakkan kaki di bumi Indonesia. Sedangkan family members yang lain semua pernah pergi.

Dengan itu, ini menjadi destinasi ketiga yang pernah saya jejak bagi rantau Asia Tenggara iaitu bermula dari Thailand, kemudiaan diikuti Vietnam dan kini di Indonesia. Antara tarikan utama yang berada di kejiranan Malaysia ini.

trip ke jakarta

Jadi untuk post kali ini, saya nak kongsikan itinerari penuh trip ke Jakarta-Bogor, Indonesia selama 5 hari untuk tahun 2024 iaitu dari segi destinasi (wisata), penginapan, makan, shopping, kos perbelanjaan dan sebagainya.

Tapi sebelum itu, saya nak kongsikan, trip kali ini ahli keluarga sudah bertambah menjadi 15 orang kesemuanya dan tema percutian kali ini juga lebih kepada anak-anak kecil. Destinasi utamanya adalah Taman Safari Bogor.

Dokumen Diperlukan Ke Indonesia

Jika anda sudah travel ke luar negara, tidak boleh tidak, anda kena tahu peraturan negara tersebut terutamanya proses masuk. Jadi disini, anda perlu tahu dokumen apa yang perlu dibawa supaya tidak dihantar pulang.

Tapi jangan risau, Indonesia bukanlah destinasi yang susah untuk anda masuk terutamanya bagi warga negara Malaysia. Jadi anda hanya perlu sediakan pasport dan perlu lengkapkan ‘formulir deklarasi bea cukai’ secara online di https://ecd.beacukai.go.id/ dalam 72 jam sebelum fly.

Untuk borang akuan ni, anda boleh isi secara online atau di airport dan saranan saya buat online sahaja. Borang ni wajib. Boleh buat sekali sahaja untuk semua rombongan. Kemudian print Kod QR yang diberi dan scan masa sampai di airport Jakarta nanti.

p/s: Kalau naik AirAsia, mereka akan remind dan hantar emel untuk lengkapkan borang akuan ini. Jadi boleh terus buat menerusi link yang diberi disitu.

Kos Perbelanjaan

Untuk kos perbelanjaan selama trip ke Jakarta-Bogor, saya akan kongsikan kos untuk seorang. Kelebihan travel ramai-ramai ni, boleh kongsi atau share perbelanjaan dan mungkin akan sedikit murah. Kadar tukaran wang ketika itu 1 juta rupiah = RM305.

Pengangkutan

Seperti biasalah, kalau nak travel oversea kena naik kapal terbang. Dan seperti biasa juga, Air Asia menjadi pilihan utama yang pastinya untuk dapatkan tiket murah. Trip kali ini, kami dapat harga tiket RM420 tanpa luggage untuk round-trip. Lebih mudah booking di www.airasia.com.

Sepanjang di Indonesia, kami tak gunakan pengangkutan awam, sebaliknya upah supir (driver) untuk bawa ke mana-mana destinasi yang ingin dituju. Disebabkan 15 orang kesemuanya termasuk budak-budak, kami guna mini bus. Yes!

Kos total kami sewa mini bus all-in termasuk bas, minyak, supir dan pembantu serta parking dan tol berjumlah 2.5 juta rupiah sehari atau 12.5 juta rupiah untuk 5 hari. Jadi seorang jatuh lebih kurang 900 ribu rupiah atau sekitar RM272 seorang.

mini bus di jakarta

Penginapan

Jika trip-trip sebelum ini, kami sekeluarga akan duduk bersama dalam sebuah rumah dan biasanya akan tempah AirBnb la. Tapi trip ke Jakarta kali ini, macam tak jumpa yang sesuai dan kami decide untuk duduk hotel dengan tempah 5 bilik untuk 5 keluarga. Jadi masing-masing keluarga dapat bilik masing-masing.

Orchardz Jayakarta Hotel menjadi pilihan disebabkan tawaran harga yang diberi. Satu malam, tak sampai RM100 pun masa kami tempah. Secara amnya, seorang jatuh harga RM400 termasuk breakfast selama 5 hari kami bermalam disana. Anda boleh tempah di Agoda atau klik butang dibawah

Kos Makanan

Di Indonesia tiada masalah untuk dapatkan makanan halal. Jadi kami memang tak bawa bekal dari Malaysia seperti ketika berada di Korea sebelum ini. Selain itu, harga makanan pun tidak jauh beza dari Malaysia. Jadi kami makan apa yang ada di Jakarta.

Untuk kos makanan, kami peruntukkan RM50 sehari untuk seorang (RM250 untuk 5 hari). Sebenarnya dah mewah pun dengan harga ni. Ditambah pula, breakfast sudah disediakan di hotel. Antara restoren yang sempat singgah seperti Pagi Sore masakan padang, Ayam Gepuk Pak Gembus, Bakso Rusuk Samanhudi, Ayam Geprek Gold Chik dan beberapa lagi.

Tempat Menarik & Aktiviti

Dalam banyak-banyak tempat menarik yang kami singgah dalam trip ke Jakarta-Bogor hanya beberapa sahaja yang perlukan tiket masuk iaitu Taman Safari Bogor dan Dufan Ancol. Selain itu, semua adalah masuk secara percuma.

Harga tiket Safari Bogor adalah 4,5 juta rupiah untuk 6 tahun ke atas dan 4 juta untuk bawah 5 tahun bagi Safari Siang. Sekitar ~Rm135 seorang. Tiket Dufan Ancol berharga 225 ribu rupiah (RM68) seorang. Ohya, kenderaan mobil juga kena bayar, 20 ribu.

Lain-Lain Kos

Lain-lain kos adalah seperti takaful dan data internet dan sebagainya adalah seperti dibawah:

Jadi kos semua untuk trip ke Jakarta-Bogor kali ini tidak termasuk shopping, duit jajan, minum kopi dan tips untuk supir. Itu semua pastinya berbeza bagi setiap daripada ahli. Jadi ianya dikecualikan.

Total Kos Perbelanjaan

Untuk keseluruhan kos pengangkutan + kos penginapan + kos makanan + aktiviti & tempat lawatan + lain-lain kos berjumlah = RM1607 seorang.

Itinerari Trip Ke Jakarta-Bogor, Indonesia

Banyak beza trip family kali ni. Antaranya adalah kami bergerak bersama-sama hanya menggunakan bas sahaja. Tiada pengangkutan awam seperti di Seoul dan Istanbul sebelum ni. Selain itu, cuaca tak sejuk, sebab hanya berada di negara berdekatan sahaja. Cuaca sama seperti Malaysia.

Saya kongsikan dibawa itinerari penuh untuk trip ke Jakarta-Bogor, Indonesia.

Day 1 (Jumaat, 16 Februari 2024)

(Pagi Sore > Pantjoran Chinatown PIK)

Penerbangan kami dari KLIA Terminal 2 ke Soekarno-Hatta Airport hanya mengambil masa 2 jam sahaja. Kalau siapa biasa ke Jakarta, perjalanan dalam tempoh 1 jam je sebenarnya. Bertolak pukul 1.00 petang dan sampai di Jakarta jam 2.00 petang waktu tempatan (tapi perjalanan ambil masa 2 jam??).

Selepas touchdown je di airport, trip ke Jakarta bermula bila mana supir kami terus bawa ke PIK (Pantai Indah Kapuk) iaitu kawasan tambak dan bandar terbaru disini. Kalau nak lepak, sambil minum, layan angin pantai, boleh datang ke kawasan ini.

pagi sore jakarta

Disini kami lunch di sebuah restoren lumayan masakan Padang iaitu Pagi Sore. Tempat mewah, layanan istimewa dan masakan Padang pun sedap. Tapi mungkinlah harga sedikit mahal. Tapi berbaloi la. Boleh makan disini.

Lepas tu, terus berjaya ke kawasan Pantjoran Chinatown. Macam kawasan cina. Kebetulan baru sahaja selepas CNY ketika itu, banyak la hiasan merah disini termasuklah patung naga yang direka khas sempena Tahun Baru Cina. Jalan-jalan sahaja disini.

trip ke jakarta chinatown pik

Selesai disini dan terus check-in di Orchadz Jayakarta Hotel lebih kurang pukul 7.00 malam. Semua dah penat untuk first day dan masing-masing masih kenyang. Kalau lapar, order Grabfood je. Sebab banyak pula voucher dia bagi.

Day 2 (Sabtu, 17 Februari 2024)

(Kota Tua Jakarta >Dufan Ancol > Bakso Rusuk Samanhudi)

Untuk hari kedua ni, destinasi utama adalah untuk pergi ke taman tema di Ancol. Kawasan ni sama seperti Sunway dimana banyak theme park yang ada disini. Ianya juga merupakan Taman Rekreasi Terbesar di Indonesia.

Sebelum itu, kami singgah dulu di Kota Tua Jakarta untuk merasai bagaimana suasana kota lama di tengah-tengah Jakarta. Sini memang tempat tumpuan orang ramai terutamanya local people. Sini lebih kepada muzium la.

Tapi pada hari tu, parents je sempat masuk ke muzium. Yang lain sibuk ambil gambar dan habiskan masa di ruang terbuka di hadapan Muzium Sejarah Jakarta yang merupakan kantor Gubenor Jenderal sebelum ni. Boleh la sewa basikal disini, layan budak-budak.

Selepas selesai, sekali lagi singgah di restoren Padang untuk nikmati santapan tengah hari dan kali ini harga lebih murah sikit berbanding Pagi Sore. Tapi tempat makan masih selesa untuk satu keluarga.

Selesai lunch, barulah kami bergerak ke destinasi utama pada hari kedua ini di taman tema di Ancol yang mana tujuan utamanya adalah untuk anak-anak kecil sahaja. Disamping orang dewasa pun boleh nikmati sekali.

Dalam kawasan ni ada Pantai Ancol, Dufan Ancol, Bird Land, Sea World, Atlantis Water Adventures, Ecopark Ancol, Samudra Ancol, Faunaland, Gondola, Pasar Seni dan macam-macam lagi.

Untuk masuk Ancol, setiap kenderaan perlu bayar. Kemudian untuk masuk mana-mana theme park, kena bayar sekali lagi. Jadi selepas masuk kenderaan tersebut, kami pilih untuk ke Dufan iaitu Dunia Fantasi. Banyak permainan la dalam ni. Tiket masuk 225 ribu rupiah seorang. Budak kecik pun kena bayar.

Dalam ni ada lebih 30 jenis permainan atau dia panggil wahana. Selain permainan, ada juga persembahan pentas. Disebabkan kami sampai petang, tak sempat nak tengok persembahan dan sempat main beberapa permainan sahaja.

Kat sini, anda boleh main kereta misteri, baling-baling, paralayang, turbo drop, bumper car, karavel, ontang-anting, roller coaster, ice age arctiv adventure, bianglala dan banyak lagi la.

Cadangan kalau nak lagi best, datang awal pagi la. Boleh cuba semua permainan. Kalau rasa panas, kat sini ada satu kawasan besar ada aircond dimana terdapat juga taman permainan untuk budak-budak.

Kami berada disini dari petang hingga tempat ni nak tutup, lebih kurang pukul 8.00 malam. Sebelum balik hotel, minta cadangan supir untuk singgah makan bakso. Jadi dapat lah merasa di Bakso Rusuk Samanhudi.

Memang bakso original dari Indonesia terpaling sedap la. Jadi kalau anda nak nikmati bakso sebenar, boleh singgah disini. Tempat bersih, banyak tempat duduk dan pastinya halal. Makan sampai kenyang.

Day 3 (Ahad, 18 Februari 2024)

(Monas > Masjid Istiqlal > Thamrin City > Ayam Gepuk Pak Gembus)

Hari ketiga kali ini, fokus untuk golongan dewasa pula dimana kami pergi ke destinasi ibadah dan semestinya shopping. Dua tempat wajib anda kena datang jika anda sampai atau adakan trip ke Jakarta.

Sebelum untuk solat zohor, kami singgah dahulu di Monas yang terletak di hadapan kantor pak presiden Indonesia. Monas = Monumen Nasional yang merupakan tugu negara bagi negara republik tersebut.

monas

Ini juga antara tempat wajib kena datang kalau anda ada buat trip ke Indonesia. Kalau ada masa, boleh la masuk ke dalam monumen tersebut. Tapi macam kena beratur panjang juga. Kami hanya bergambar dari jauh sahaja. Sebagai bukti telah hadir.

Selesai disini, kami terus pergi ke masjid terbesar kelapan terbesar di dunia dan terbesar di Asia Tenggara iaitu Masjid Istiqlal. Untuk info, disini mampu memuatkan seramai 200,000 jemaah dalam satu-satu masa.

Boleh la bersihkan diri disini, solat zohor dan kebetulan pada hari tersebut terdapat aktiviti jemaah. Jadi orang ramai disini ketika itu, disamping gerai jualan pun banyak. Dapat la isi perut sikit sebelum makan tengah hari.

Berhadapan dengan masjid ini, terdapat juga Gereja Katedral Jakarta yang agak besar sebenarnya. Agaknya kenapa dua rumah terdapat dua rumah ibadah berada di hadapan satu sama lain yang hanya dipisahkan dengan jalan raya sahaja?

Gereja Katedral Jakarta

Dah selesai disini, terus bergerak ke Thamrin City iaitu sebuah shopping mall yang mana banyak menjual pakaian lelaki dan wanita. Nak cari baju raya dan inilah tempatnya. Sangat banyak pilihan dengan harga yang murah berbanding di Malaysia.

Kat sini kalau tiada tujuan, memang rambang mata la. Tak tahu berapa tingkat lah dan setiap daripadanya ada sahaja kedai-kedai kecil jual baju. Nasihat saya, jumpa baju yang berkena terus beli. Kalau nak cari semula kedai tersebut, mungkin dah hilang sebab banyak sangat kedai. Sini indoor, ada aircond. Selesa la juga.

Selepas selesai shopping sampai tutup jam 6.00 petang. Mula pulang ke hotel. Sebelum itu, singgah dinner dulu di Ayam Gepuk Pak Gembus. Saya di Indonesia ni, tujuan utama nak rasa ayam gepuk original ni je sebenarnya. Akhir dapat juga rasa.

Untuk personal review, Ayam Gepuk Pak Gembus lagi sedap di Malaysia punya. Di Jakarta ni, kedai kecik, ayam kecik dan sambal dia tak sepedas dan sesedap di Malaysia. Tapi menang dengan harga la. Set lengkap semua paling mahal 23,000 rupiah atau ~RM9.60 sahaja. Untuk rasa, Malaysia sedap lagi.

Day 4 (Isnin, 19 Februari 2024)

(Taman Safari Bogor)

Hari ini sepenuhnya akan berada di Bogor iaitu di Taman Safari Indonesia. Perjalanan dari Jakarta mengambil masa lebih kurang 2 jam dalam bas. Jadi lepas breakfast, terus bertolak ke Bogor. Misi utama trip ke Jakarta-Bogos kali ini.

Dah hari keempat ni, boleh rasa berbaloi sangat sewa mini bus berbanding van panjang. Lebih selesa, boleh baring lagi sebab seat banyak kosong. Budak-budak pun tak rasa tertekan sangat dan paling best boleh karaoke. Sebab ada tv. Jadi tak bosan sangat kalau tersekat dalam macet. Lagi pula duk dalam bas ke Bogor ni lama kan.

trip ke jakarta

Sebelum sampai ke Taman Safari, anda akan perasan banyak orang jual lobak di tepi jalan. Disarankan untuk anda beli lobak tersebut. Sebab nanti, anda boleh bagi makan haiwan safari secara langsung dari dalam kereta anda. Beli je mana-mana.

Untuk Taman Safari Bogor (TSB), harga tiket dewasa adalah 450 ribu rupiah (RM136) dan kanak-kanak bawah 5 tahun 400 ribu rupiah (RM121). Waktu operasi dari 9.00 pagi hingga 4.00 petang setiap hari. Tiket boleh terus beli di kaunter sahaja. Sama je harga.

Dalam TSB ini, tarikan utama adalam Safari Tour. Disamping itu, terdapat juga taman permainan, zoo dan pertunjukkan sepanjang dalam kawasan. Selain itu, ada juga air terjun, taman koboi dan macam-macam lagi.

Sebelum sampai ke parking, anda terlebih dahulu akan melalui kawasan tempat tinggal haiwan untuk merasai Safari Tour. Disini anda akan menaiki kenderaan sendiri sambil melihat haiwan dengan lebih dekat. (terus dari dalam kereta)

Disini jugalah, anda boleh bagi makan secara terus dari dalam kereta. Sebab itu, anda perlu beli lobak yang ada dijual sepanjang perjalanan nanti. Disini mengambil masa lebih kurang 45 minit.

Anda boleh jumpa pelbagai haiwan yang berkeliaran disini terutamanya berada di atas jalan raya. Boleh jumla rusa, kancil, pelbagai jenis lembu, zebra, gajah, zirafah dan banyak lagi. Untuk kawasan harimau dan singa, anda wajib untuk tutup tingkap, takut diserang nanti.

Dah selesai disini, barulah sampai ke kawasan untuk jalan kaki. Mula-mula boleh layan mini zoo pula. Boleh tengok kangaroo beserta haiwan-haiwan kecil yang lain. Ada juga bird park disini.

gelang taman safari bogor

Kemudian lalui wahana permainan. Terdapat lebih 20 jenis permainan yang anda boleh nikmati sama ada untuk dewasa dan kanak-kanak. Dengan bayaran tiket masuk tersebut, anda dapat gelang dan boleh main secara percuma sahaja.

Dalam masa yang sama, akan berlangsungnya pertunjukan haiwan. Anda kena tahu jadual-jadual tersebut. Boleh tengok kat sini. Kami sempat tengok Dolphins dan Sea Lion sahaja. Sebab budak-budak sibuk nak main permainan. Boleh tengok juga varios animals, tiger, cowboy dan lain-lain.

Sebab tempat ni luas, disediakan keretapi. Kawasan ni berbukit tau, kalau tak larat, naik je keretapi tu. Tapi sini serius best sebab sejuk. Kalau jalan tak rasa penat sangat pun. Lagi pula dalam hutan. Hari tu nasib tak baik sangat, sebab hujan lebat pukul 3.00 petang sampai tutup. Jadi terlepas nak tengok koboi, bird of prey. Nak tengok kawasan air terjun tak sempat.

Fasiliti sini semua terbaik. Tandas banyak. Surau besar gila. Nak makan pun banyak pilihan. Nasi Padang ada, masakan panas ada dan Safari Friend Chicken (SFC) pun ada. Memang takkan lapar la kalau lepas ini seharian.

Selain budak-budak, orang dewasa pun berbaloi kalau datang sini. Katanya di Bogor ini menjadi Taman Safari terbaik di Indonesia. Lagi pula di Bogor ini sebenarnya banyak lagi aktiviti lain yang anda boleh buat. Jadi kalau ada masa, boleh bermalam disini. Banyak hotel dan resort juga tersedia disini sebenarnya.

Dah selesai semua, pecut terus balik ke hotel. Sebab masing-masing dah penat, order Grabfood je untuk dinner. Malam tersebut, order lah Geprek Gold Chick. Mengejutkan, ayam geprek ni sedap gila dan lagi sedap daripada ayam gepuk pak gembus tu. Korang kena cuba.

Day 5 (Selasa, 20 Februari 2024)

(Tanah Abang > Kopi Kenangan)

Hari terakhir untuk trip ke Jakarta-Bogor ini, ikut waktu penerbangan pulang pukul 6.00 petang. Jadi masih sempat untuk beraktiviti pada belah pagi. Jadi kami decide untuk kali terakhir shopping pula di Tanah Abang.

Secara asasnya, Thamrin City dan Tanah Abang ni jual pakaian yang lebih kurang sama je. Tetapi Tanah Abang lebih crowded. Selain daripada kawasan indoor, disekeliling shopping mall ni pun bersepah orang berniaga. Untuk keselesaan, bagi saya di Thamrin City lebih baik.

Harga lebih kurang je. Pakaian pun lebih kurang. Tapi kat sini dia bagus sebab asingkan jenis jualan bagi setiap lantai (tingkat). Lantai 1 jual baju lelaki, lantai 2 jual baju budak dan sebagainya. Dan disini juga sesuai kalau anda nak beli borong. Kalau anda peniaga, kena la datang dan buat trip ke Jakarta disini.

tanah abang

Dah selesai, barulah terus ke Soekarno-Hatta Jakarta Airport. Dah balik, barulah jumlah kopi Kenangan airport iaitu merupakan antara yang produk lokal yang popular disini. Sedap kopinya dan harga juga berpatutan.

kopi kenangan

Jadi lengkaplah dua perkara yang dicari bila tiba di Indonesia iaitu Ayam Gepuk Pak Gembus dan Kopi Kenangan. Now, boleh balik dengan aman ke Malaysia selepas 5 hari trip ke Jakarta-Bogor Indonesia.

Penutup

Kalau hitung betul-betul, first trip DIY bersama keluarga adalah ke Perth pada tahun 2019. Lepas tu bercadang untuk teruskan acara tahunan. Tapi tak berjaya, sebab pandemik berlaku dan tutup semuanya.

Kemudian tahun 2022 sambung semula dan masing-masing dah kerja pun, jadi terbang ke Istanbul-Cappadocia, Turkiye. Tapi masa ni, satu keluarga tak cukup. Jadi tak semua dapat pergi.

Tahun 2023, parents dah nekad untuk bawa semua ahli keluarga untuk bercuti ke Seoul, Korea dan tiada siapa yang terkecuali. Ini trip DIY seterusnya melibatkan semua ahli keluarga ke Indonesia pula.

BACA JUGA : Tips Travel Ke Korea

trip ke jakarta

Orang cakap, duit boleh dicari, tapi masa dan kekuatan tersebut akan hilang. Jadi selagi parents masih kuat berjalan, kita ajak dia berjalan sekali. Dalam masa yang sama, boleh la sponser sikit.

Trip ke Jakarta-Bogor ini kami jalankan secara sendiri atau DIY sahaja. Kita boleh rancang perjalanan sendiri mengikut waktu dan masa kita sendiri. Perbelanjaan pun kita boleh kawal kan. Terima kasih semua yang terlibat.

Next destinasion kemana pula agaknya lepas ni?…

2 thoughts on “Itinerari Trip Ke Jakarta-Bogor Indonesia Selama 5 Hari Tahun 2024”

Leave a Comment